KUALA LUMPUR – Isu ‘meramas’ dan ‘meraba’ menggamatkan persidangan Dewan Rakyat petang Selasa apabila beberapa anggota Parlimen mempersoalkan standard pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Malaysia.
Perkara itu mula dibangkitkan Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) bertanyakan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab. Aziz Kaprawi yang sedang menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan.
Mojigoh meminta Ab. Aziz menjelaskan mengapa pemeriksaan keselamatan terhadap anggota badan penumpang sebelum menaiki pesawat dilakukan menggunakan tangan, sedangkan ia sepatutnya dilakukan menggunakan pengimbas badan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pemeriksaan keselamatan seperti itu masih dilakukan di lapangan terbang negara ini, sedangkan Amerika Syarikat yang mempunyai tahap keselamatan yang tinggi di lapangan terbang juga tidak melakukan pemeriksaan sedemikian.
“Saya tidak faham, mengapa pemeriksaan dilakukan menggunakan tangan? Seolah-olah pegawai keselamatan yang membuat pemeriksaan itu mempunyai tangan ajaib yang boleh mengesan bahan letupan.
“Kita anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak setiap minggu menaiki pesawat dan maknanya setiap minggu kami semua kena raba,” katanya sambil disambut gelak tawa dari anggota Parlimen yang lain.
Rungutan Mojigoh itu turut dipersetujui Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang mempersoal adakah pemeriksaan ‘meraba’ itu boleh menjamin keselamatan.
“Ini berkaitan isu keselamatan bukan isu meraba, jadi mengapa tidak disediakan alat seperti di lapangan terbang di luar negara,” katanya.
Menjawab pertanyaan itu, Ab. Aziz berkata isu tersebut sepatutnya tidak timbul kerana setiap penumpang diperiksa oleh pegawai keselamatan dari jantina yang sama dengan penumpang terbabit.
Katanya pemeriksaan badan menggunakan tangan amat penting kerana tidak semua pengimbas badan mampu mengesan bahan letupan terutama yang diperbuat daripada seramik.
“Oleh kerana kita mengamalkan standard keselamatan yang tinggi, maka ia perlu dibuat. Bagaimanapun ia tidak dilakukan sehingga ke bahagian anggota sulit,” katanya.
Beberapa anggota dewan kemudian bangkit untuk menyatakan pandangan mengenai perkara itu namun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mencelah dan berkata: “Ini kalau dibiarkan sampai malam pun tidak habis.”
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) turut mencelah yang bertanyakan mengenai pemeriksaan keselamatan yang menghendaki penumpang menanggalkan tali pinggang.
“Saya tiada masalah kena raba. Cuma saya ingin tahu konsistensi mengenai tali pinggang di mana ada lapangan terbang perlu tanggalkan, tapi ada lapangan terbang tidak perlu tanggalkan,” katanya.
Ab. Aziz kemudian menyatakan bahawa isu pemeriksaan keselamatan itu akan dibawa untuk perhatian Malaysia Airports Holdings Berhad dan akan dilihat secara mendalam.
-silakan SHARE utk manfaat bersama-
Sumber : mynewshub
No comments
Thanks For Comment !!! :)