Klip Video Lelaki Rogol Dan Bunuh Jururawat Di Gua Musang Ke Tali Gantung
Seorang bekas pekerja kilang papan yang merogol seorang jururawat selepas mengelar lehernya sebanyak dua kali, hari ini gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan hukuman mati atas perbuatan kejamnya itu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf sebulat suara menolak rayuan Mohammad Awari Ahmad, 27, terhadap hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu selepas didapati bersalah membunuh isteri seorang polis bantuan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham memohon mahkamah menolak rayuan Mohammad Awari dan mengekalkan hukuman mati atas perbuatan kejamnya yang dilihat sendiri oleh anak lelaki mangsa yang ketika itu berumur lima tahun.
“Perbuatan perayu adalah kejam, agresif dan ganas. Selepas menetak leher mangsa, perayu telah merogol mangsa ketika darah sedang membuak keluar.
“Mangsa mengalami 11 kecederaan, antaranya di leher dan tangan. Dalam kes ini perayu menggunakan parang untuk mengelar bahagian kiri dan kanan leher mangsa. Ini jelas menunjukkan perayu mempunyai niat untuk membunuh,” katanya.
Beliau berkata selepas itu perayu telah pergi “meraikan” perbuatannya dengan meminum tujuh botol arak di sebuah restoran berdekatan dan mencuri wang RM200 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa yang ketika itu berumur 25 tahun.
Mengikut keterangan kes, semasa suami mangsa pulang dari kerja pada 2 pagi, 1 Mac 2015, beliau ternampak isterinya terbaring di atas jalan tar di hadapan rumahnya dengan berselimut tanpa pakaian lalu beliau bergegas ke rumah ayahnya yang berdekatan rumahnya untuk meminta pertolongan.
Keluarga mentua wanita itu membawanya ke Hospital Gua Musang manakala suaminya melihat tiga anaknya berumur enam bulan, tiga tahun dan lima tahun yang sedang berbaring di atas tilam yang berlumuran darah.
Wanita itu meninggal dunia pada 6.40 pagi hari sama dan sebelum itu mangsa sempat menulis nota dibaca: “anak abe mat tanah putih yang rogol dan kelar samun duit”.
Mengikut keterangan Mohammad Awari semasa membela diri, dia berkata mangsa terjaga dan terkejut ketika menyedari biliknya dimasuki perayu yang ingin mencuri.
Perayu dalam keterangannya sendiri menyatakan mangsa mengalami kesukaran bernafas akibat kelaran di lehernya ketika dirogol.
Terdahulu peguam Ahmad Nizam Mohamed yang mewakili Mohammad Awari berhujah bahawa anak guamnya tidak mempunyai niat untuk membunuh wanita itu sebaliknya mangsa yang meronta-ronta sehingga menyebabkan kematian.
Katanya oleh itu kesalahan anak guamnya ialah membunuh tanpa niat, dan pada ketika ini Rohana bertanya kepada peguam itu: “Justeru perayu patut dibebaskan?” dan peguam itu menjawab: “Bukan dihukum di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat).”
Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusannya berkata setelah meneliti rekod rayuan dan alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan, mahkamah itu berpuas hati tidak ada apa-apa kesilapan dilakukan kedua-dua mahkamah tersebut.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah meneliti keterangan dan memutuskan tentang unsur niat yang dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan .
Rohana berkata keterangan yang menyokong seperti keterangan saksi mata menunjukkan bahawa keterangan dalam rekod rayuan berkaitan perbuatan tertuduh adalah sangat kukuh.
“Kami dapati tidak ada sebab yang membolehkan kami mengubah keputusan kedua-dua mahkamah itu. Dengan ini kami dapati sabitan terhadap perayu adalah selamat. Di atas alasan-alasan ini kami menolak rayuan perayu dan mengesahkan sabitan dan hukuman,” katanya.
Mohammad Awari yang kelihatan tenang selepas keputusan itu turut disabitkan atas tuduhan merogol mangsa dan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, bagi prosiding hari ini, rayuan hanya dibuat terhadap hukuman mati sahaja.
Dia dituduh membunuh dan merogol wanita itu antara 12.20 tengah malam hingga 2 pagi di dalam sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan pada 1 Mac 2015. — Bernama
Rujukan:
Nota Yashmin Fauzi Mangsa Bunuh Gua Musang Bantu Polis Tahan Suspek (video)
https://pakdin.my/nota-mangsa-bunuh-gua-musang-bantu-polis-tahan-suspek/
No comments
Thanks For Comment !!! :)