KUALA TERENGGANU: Keghairahan seorang pelajar politeknik di Johor dan pasangannya, seorang penuntut universiti awam di Kedah bertemu pada cuti semester untuk melepaskan rindu membawa padah apabila dikenakan hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, kerana kesalahan khalwat.
Tertuduh, Muhammad Syamim Mahadi, 19, dari Kampung Banggol Tok Jiring di sini, dan pasangannya, Nur Shafika Solah, 19, dari Kampung Gelugor Kedai, di sini, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof mengenakan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pendakwaan mengikut pertuduhan Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Mengikut kertas pertuduhan, sepasukan pegawai dan penguatkuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu yang membuat serbuan berwaran di sebuah hotel di Jalan Tok Lam di sini, sebelum mengetuk pintu sebuah bilik kira-kira jam 10.55 pagi pada 12 November tahun lalu dan dibuka tertuduh lelaki.
Bagaimanapun, dalam keadaan tergesa-gesa tertuduh lelaki menutup semula pintu dan ingin melarikan diri tetapi ditahan penguatkuasa berkenaan.
Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati tertuduh perempuan turut berada di dalam bilik hotel berkenaan dan diakui tertuduh lelaki.
Soal siasat mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram. Nik Mohd Shahril dalam penghakimannya berkata, kedua-dua tertuduh tidak sepatutnya memalukan keluarga dengan melakukan perbuatan keji itu.
"Kamu sepatutnya sedar status sebagai pelajar dan orang beragama Islam yang dilarang melakukan perbuatan tidak bermoral ini.
"Di mana kamu hendak letak maruah keluarga yang kecewa dengan perbuatan kamu ini. Segeralah bertaubat dan tumpukan pada pelajaran sehingga berjaya dahulu.
"Jika bercinta sekali pun, janganlah terjebak dengan perbuatan sebegini. Kasihan pada ibu bapa kamu yang mengharapkan anak mereka berjaya, tetapi kamu menconteng arang ke muka mereka dengan perkara sebegini," katanya. Sumber: http://www.bharian.com.my/node/118432
-silakan SHARE utk manfaat bersama-
Sumber : ohdunia
No comments
Thanks For Comment !!! :)