Mungkin yang paling penting ialah bukti yang kita ada sebelum sesuatu itu dibawa ke pengetahuan umum menggunakan kuasa media sosial.
Masyarakat kita semakin maju dalam memahami bahawa sesuatu yang viral itu tidak semestinya betul.
Pucuk pangkalnya ialah bukti perlu datang dengan dakwaan.
Justeru, situasi yang dilalui seorang wanita yang dikenali sebagai Fatin Syahirah apabila dia menuduh seorang lelaki cuba mengintainya di sebuah tandas stesen minyak Petronas, Kuaters Klia, Sepang, baru-baru ini, mungkin boleh dijadikan teladan.
Akibat dakwaannya itu, lelaki yang dikenali sebagai Abdul Hadi Othman, 33, cedera dibelasah lima lelaki kerana dituduh mengintai dan merakam wanita terbabit.
Dalam status Facebooknya (FB) sebelum ini, Fatin menuduh Abdul Hadi ingin merakam dan mengambil gambar ketika dia sedang melakukan urusan di dalam tandas tersebut.
Tanpa sebarang bukti yang kukuh, wanita terbabit telah memuat naik gambar mangsa dan menuduhnya.
Selepas isu itu viral, Fatin dihujani dengan soalan bertalu-talu dari pengguna media sosial lain iaitu, di mana bukti lelaki itu cuba mengintai dirinya ketika dia berada dalam tandas.
Walaupun Fatin kelihatan jujur dalam menceritakan dirinya menjadi mangsa, namun ketiadaan sebarang bukti yang kukuh mewujudkan persoalan seperti apakah dia salah faham dengan apa yang terjadi atau mungkin dia mahukan populariti semata-mata.
Seperti mana duit syiling mempunyai dua permukaan, begitu juga sesuatu kejadian ada dua atau lebih kemungkinan.
Jika ikut versi Fatin, dia diintai.
Namun, rakan kepada lelaki berkenaan pula selepas itu tampil dengan versi yang menjelaskan perkara yang berlainan pada apa yang diceritakan oleh Fatin.
“Kisah sebenar kawan aku ni nak pakai toilet Petronas Kuaters KLIA, tapi tandas lelaki kat situ memang dah lama rosak, tinggal tandas OKU dengan wanita je. Disebabkan tandas OKU ada orang pakai dan keadaan kecemasan, masuklah tandas perempuan. Takkan nak kencing merata.
“Habis tunai hajat, keluar la member aku ni. Serentak pulak keluar sama dengan hot dog ni. Bajet hot stuff ni. Pastu terus meroyan menjerit-jerit melebihi level pontianak tuduh, fitnah member aku ni merakam dia dalam toilet. Katanya tengah skodeng. Lepastu tiba-tiba ada pulak lima lelaki datang pukul member aku ni,” tulis rakan mangsa.
Persoalan bertalu-talu dari netizen yang meminta Fatin mengemukakan bukti kejadian menyebabkan wanita itu akhirnya mengalah dan tampil memohon maaf.
“Dengan apa yang dah berlaku, saya Fatin Syahirah nak minta maaf kepada semua dan sudah memaafkan si pelaku. Dua-dua sudah tarik report secara baik.
“Now yang mana yang viralkan saya tu minta tolong delete post sebab kes ini dah tutup. Dan macam yang korang cakap ini antara saya dan dia sahaja,” tulisnya.
Jika dibaca secara rapi, jelas Fatin masih mempertahankan dirinya menjadi mangsa tetapi pada masa yang sama memohon maaf kerana kegagalannya mengemukakan bukti bersama tuduhan itu.
Simpati juga dengan nasib wanita ini andai apa yang dikatakannya itu benar tetapi akhirnya dia pula yang terpaksa memohon maaf.
Hakikatnya, tak tahu pihak yang mana berkata benar, ataupun sebaliknya.
Mungkin boleh kita ambil iktibar jangan membuat tuduhan kerana masyarakat akan bertanya kembali kepada kita, di mana bukti dakwaan kita itu .
-silakan SHARE utk manfaat bersama-
Sumber : mynewshub
No comments
Thanks For Comment !!! :)