JAKARTA – Tahun lalu Mynewshub pernah menyiarkan kisah mengenai solat terawih dan witir sebanyak 23 rakaat yang paling pantas di dunia! Ia berjaya selesai hanya dalam masa tujuh minit sahaja!
Laporan unik tersebut mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan tokoh agama tempatan termasuk mufti yang menyifatkan ia mungkin kurang sempurna akibat tiada tumakninah atau rehat seketika antara dua perbuatan.
Namun sebenarnya itulah tradisi turun-temurun solat tarawih ‘kilat’ yang diamalkan di masjid di Pondok Pesantren Mambaul Hikam yang terletak di Desa Mantenan, Blitar, wilayah Jawa Timur dekat sini setiap kali bulan Ramadan.
Lebih mengejutkan banyak pihak di Indonesia sendiri, menurut laporan portal detikNews, amalan solat sunat yang terlalu laju itu sebetulnya telah dilakukan sejak pondok pengajian agama tersebut diasaskan lebih 115 tahun lalu.
Stesen televisyen popular tempatan MetroTV pula mendedahkan, tradisi solat terawih ‘kilat’ di pesantren itu hanya diamalkan untuk solat tarawih dan witir sahaja, sementara untuk solat fardu lima waktu ditunaikan seperti biasa.
Pengasuh Pondok Pesantren Mambaul Hikam, Kyai Dliya’uddin Azzamzammi memberitahu pihak media, tradisi solat tarawih itu sudah berlangsung lebih seabad lalu, sejak datuknya menjadi pengasuh pesantren tersebut.
“Alasannya, ketika itu ramai penduduk enggan ikut solat tarawih, kerana siangnya mereka bekerja keras hingga lesu dan penat. Dengan solat tarawih cepat ini, membuatkan jemaah menjadi tertarik untuk datang ke masjid,” katanya.
Ia sekali gus mencapai matlamat dakwah Islamiah apabila menyaksikan hampir seluruh penduduk Desa Mantenan, Blitar sanggup beramai-ramai datang ke masjid itu dan ikut melaksanakan solat tarawih waima letih pada siangnya.
Meskipun solat dilaksanakan dengan begitu pantas, Dliya’uddin menegaskan, ia masih lagi tidak mengurangi 13 rukun solat atau langsung keluar daripada syariat hukum Islam, malah tidak mempersendakan ibadah sunat itu.
“Kerana aspek tumakninah dalam solat itu tetap ada, bahkan adanya waktu untuk kita sempat lagi melafazkan kalimah Subhanallah baik secara lisan mahupun dalam lintasan hati,” ujar beliau seperti dipetik oleh detikNews.
Selain itu, paling membanggakan pihak pengurusan masjid itu apabila Majlis Ulama Indonesia (MUI) cawangan Blitar juga menganggap solat tarawih secara kilat itu masih sah dan tidak melanggar syariah Islam, lapor MetroTV.
Jamil Mashadi dari MUI Blitar berkata meskipun cepat, gerakan solat jemaah itu sama dengan solat umumnya dan tidak ada gerakan yang dikurangi, malah bacaan solat juga tetap sama, sesuai dengan syariah dan rukun solat.
Bahkan katanya, ketika pengasas pesantren tersebut memulakan tradisi berkenaan, mereka ingin jemaah lebih khusyuk ketika solat tarawih dan tidak memikirkan sangat hal-hal duniawi lain kecuali mengingati Allah SWT.
Hasilnya, setiap hari, masjid di pesantren tersebut sesak dipenuhi dengan ratusan jemaah bukan sahaja dari sekitar kampung berkenaan, tetapi juga dari kampung-kampung berhampiran yang lain, lapor media tempatan lagi.
Para jemaah ketika ditemui mengakui mereka tertarik untuk memilih mengikuti solat tarawih di pesantren tersebut kerana selain dilaksanakan dengan pantas, penduduk juga dapat menjimatkan masa untuk pelbagai urusan lain.
“Kita selalu solat tarawih di sini kerana efisien waktu, sehingga misalkan kita ada keperluan lain tidak terganggu dan pada masa sama, tetap tidak meninggalkan solat sunat tarawih,” ujar Hadi, seorang jemaah, kepada detikNews.
“Kita juga percaya dan berasa yakin, meskipun solat tarawih di sini sangat cepat berbanding di tempat lain, namun ia tidak meninggalkan rukun atau syarat solat,” tambah Moh Masroni, seorang lagi penduduk tempatan.
Pondok Pesantren Mambaul Hikam diasaskan pada 1901 oleh Kiyai Abdul Ghofur. Ia kini mempunyai lebih 1,000 pelajar dari pelbagai daerah, termasuk di luar Jawa, seperti Sumatera, Sulawesi, Kalimantan dan Lampung.
Sementara itu, Wakil Ketua Umum Nadhlatul Ulama, Miftahul Akhyar bagaimanapun, dipetik oleh portal berita Viva.co.id sebagai berkata solat terawih kilat tersebut dikhuatiri mengabaikan maksud tarawih yang sebenarnya.
Beliau menjelaskan, dari segi secara bahasa Arab, perkataan tarawih itu sendiri adalah bentuk jamak daripada perkataan tarwihah, iaitu bermaksud istirahat. Tujuan solat, katanya, ialah untuk mengingati Allah SWT.
“Kerana itu, solat yang baik seharusnya tidak menghilangkan prinsip tumakninah dalam setiap pergerakannya. Tidak tergesa-gesa, apatah lagi yang dilakukan dengan pergerakan secara superkilat,” kata Miftahul lagi.
Jika melihat video solat terawih ‘kilat’ berkenaan yang tersebar di YouTube, beliau berkata setiap gerakan tidak ada ketenangan atau tumakninah. “Mereka salah memahami kitab rujukan,” ujarnya.
-silakan SHARE utk manfaat bersama-
Sumber : mynewshub
No comments
Thanks For Comment !!! :)