Menerusi status dimuat naik ke akaun Facebook rasminya, Azizulhasni mengucapkan terima kasih secara sinis kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman susulan permohonan bantuan dibawa pihak pengurusannya sebelum ini tidak diberi perhatian.
Bukan setakat tidak memberikan bantuan, malah permohonan yang dikemukakan dipandang sepi oleh pihak kerajaan negeri Terengganu tanpa sebarang jawapan sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen sendiri yang terkejut dengan pendedahan tersebut.
“Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan ke Olimpik walaupun sudah dihantar proposal lebih kurang setahun sebelum bermula Sukan Olimpik Rio 2016.
“Terima kasih juga kerana tidak beri respon dan membisu apabila pengurus saya menghubungi Tuan Menteri Besar,” tulis Azizul yang menyindir ia berkemungkinan kerana kerap berlatih di luar negara sehingga kerajaan negeri terlepas pandang isu tersebut.
Selepas kejayaannya meraih gangsa dalam Olimpik, Azizulhasni berharap ia akan membuka mata sesetengah pihak akan sumbangan besar atlet seperti mereka, sekali gus kembali mengambil peranan aktif untuk membantu menaikkan lagi nama negara dalam arena sukan.
“Apapun yang berlaku, kami tetap bangga menjadi anak jati Terengganu,” katanya yang dilahirkan di Dungun, sebuah bandar peranginan di negeri Pantai Timur Semenanjung itu pada 5 Januari 1988 dan pernah belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil di ibu negara.
Azizulhasni, 28; yang pernah meraih emas pada Sukan Asia di Guangzhou, China 2010 menerusi acara keirin sekali gus mengakhiri penantian Malaysia dalam acara trek berbasikal di temasya Olimpik Rio dengan membawa pulang sebutir pingat gangsa awal pagi Rabu.
Dalam pada itu, Ahmad Razif mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal negara itu yang melakar sejarah pada Sukan Olimpik Rio dan berkata kejayaan menerusi perlumbaan akhir keirin lelaki itu amat membanggakan malah sangat bermakna bagi Terengganu sendiri.
“Saya yakin kejayaan Azizulhasni ini akan menjadi peniup semangat kepada pelumba berbasikal yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu dan membuktikan kehebatan anak Terengganu itu mampu seiring jaguh hebat dunia.
Ahmad Razif seterusnya berkata bahawa pihak kerajaan negeri akan menyediakan insentif khas kepada Azizulhasni atas kejayaan tersebut selepas Yayasan Sime Darby yang membiayai pelumba itu mengumumkan sedia menyumbang ganjaran sebanyak RM100,000.
“Terima kasih Azizulhasni yang tidak pernah lelah bawa semangat Malaysia ke persada dunia. Terima kasih juga kepada semua jurulatih dan keluarganya. Rakyat Terengganu bangga dengan ‘The Pocket Rocket Man’,” katanya.
-silakan SHARE utk manfaat bersama-
Sumber : mynewshub
No comments
Thanks For Comment !!! :)